Khamis, Jun 29, 2006

AL MURABITUN

MUQADDIMAH

Umat Islam yang diamanahkan untuk mentadbir dunia sudah tentu memerlukan pendukung yang komited dan memiliki tasawur Islam yang jelas.

Pendukung-pendukung dan pejuang-pejuang yang berjiwa besar ini hendaklah bersedia untuk berkorban masa, harta dan jiwa untuk mempastikan Islam diletakkan di tempatnya yang tinggi lagi mulia.

Sokongan ini hendaklah dipertahankan dan dipertingkatkan agar seluruh umat Islam khususnya dan manusia amnya dapat menerima dan menikmati keadilan dan kebenaran serta kesejahteraan yang dijuarai oleh Islam.

Tugas dan tanggungjawab yang besar lagi berat ini hendaklah dipikul oleh para petugas sepenuh masa yang diistilahkan sebagai Al-Murabitun.

KONSEP AL-MURABITUN

Apabila Islam semakin berkembang maka menjadi suatu keperluan untuk menjaga keutuhan pemerintahan dan mempertahankan sempadannya sepanjang masa daripada diancam oleh musuh. Kumpulan mukmin yang bertugas sepenuh masa ini dikenali sebagai al-Murabitun.

Kalimah ini juga digunakan bagi merujuk kepada orang-orang beriman yang berkekalan di dalam Masjid Nabawi selepas solat Maghrib untuk menunggu solat Isya?.

Takrifan di atas bolehlah dirumuskan bahawa al-Murabitun itu adalah kumpulan mukmin yang bertugas sepenuh masa untuk tujuan-tujuan tertentu. Apabila sesuatu tugas itu dilaksanakan secara sepenuh masa maka sudah tentu ianya merangkumi sumbangan masa, tenaga dan pemikiran.

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)". (Ali Imran: 200)

Daripada nas di atas, dapat difahami bahawa menyediakan petugas sepenuh masa al-Murabitun merupakan suatu kewajipan.

Apabila sesuatu golongan itu ditugaskan secara sepenuh masa maka sudah tentu akan lahirlah para petugas yang berpengalaman yang mana hasil dari pengalaman ini menjadikan seseorang itu pakar dalam bidangnya dan disebut sebagai professional.

Aspek ini dianggap sangat penting untuk memastikan keberkesanan dan kejayaan yang optimum. Ianya juga penting untuk memastikan kebolehpercayaan dan kesahihan sesuatu rancangan mahupun tindakan.

Petugas sepenuh masa tentu menjimatkan tenaga memandangkan tenaga pakar yang sedia ada tidak memerlukan tenaga gantian, dan faktor ini sudah pasti boleh menjimatkan kos yang merupakan salah satu daripada ajaran Islam.

Tenaga-tenaga yang dimaksudkan di atas telah dijanjikan ganjaran oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

Daripada Sahl bin Saad al-Saidi r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bermurabitunlah satu hari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di atasnya". (Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya: Daripada Aisyah, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dan bahawasanya sebaik-baik pekerjaan kepada Allah ialah yang paling berkekalan walaupun sedikit". (Riwayat al-Bukhari)

Kedua-dua hadith di atas memberi keyakinan kepada pendukung yang memahaminya untuk berkorban masa, tenaga dan jiwa demi kepentingan Islam dalam apa jua bidang yang ditugaskan.

KEPENTINGAN AL-MURABITUN DALAM GERAKAN ISLAM

Gerakan Islam masa kini menamakan al-Murabitun dengan al-Mutafarrighun. Adalah tanggungjawab al-Mutafarrighun masa kini agak mencabar dari masa-masa yang lampau memandangkan penyebaran Islam telah sampai ke segenap pelosok dunia serta pesatnya perkembangan teknologi moden.

Dengan meningkatnya tahap keintelektualan manusia, maka keperluan kepada al-Murabitun menjadi semakin mendesak.

Terdapat beberapa bidang yang memerlukan al-Murabitun di dalamnya antaranya:

1.Penyelidikan

Bidang ini amat penting diutamakan untuk merancang strategi, kedudukan dan tindakan yang bakal dilaksanakan.

2.Pendidikan

Pendidikan memainkan peranan utama dalam menyedarkan rakyat jelata yang berbilang latar belakang maka keperluan kepada tokoh-tokoh yang bekerja sepenuh masa dalam bidang ini haruslah diutamakan seperti para mursyid dan nuqaba.

3.Penerangan

Dalam menyebarkan maklumat dan penerangan kita memerlukan para murabitun yang terdiri dari tenaga-tenaga penceramah yang berkemampuan secukupnya.

4.Ekonomi

Tidak dinafikan bahawa bidang ini penting dalam menggerakkan jentera gerakan Islam. Justeru itu, kita memerlukan pakar-pakar ekonomi seeprti para usahawan yang bertugas sepenuh masa untuk membiayai program-program dan aktiviti-aktiviti gerakan Islam.

5.Perundangan

Pakar-pakar di bidang ini haruslah dilahirkan dan dikaderkan dalam bilangan yang mencukupi untuk mempastikan proses pemulihan kuasa dan pelaksanaan undang-undang Islam dapat dijalankan.

Tiada ulasan: